Mahkamah Timbang Tara Tolak Permohonan Selangor FC
Hafiz Omar
Mahkamah Timbang Tara telah menolak permohonan yang difailkan oleh Selangor FC bagi menangguhkan hukuman bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong.
Permohonan tersebut dibuat terhadap hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15hb November 2025 dan kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26hb November 2025 – berikutan insiden yang melibatkan kelakuan penyokong serta penganjuran perlawanan.
Penolakan keputusan itu dilakukan oleh Emergency Sole Arbitrator pada 7hb September 2026 (Isnin) selepas meneliti permohonan kelab berjulukan Gergasi Merah itu.
View this post on Instagram
Dimaklumkan permohonan secara kecemasan itu dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan telah didengar pada jam 5 petang semalam pada waktu Malaysia. Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh FAM menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.
Susulan keputusan tersebut, hukuman ke atas Selangor FC untuk bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong bagi perlawanan Piala FA musim 2026/2027 menentang Sabah pada 9hb September 2026 di gelanggang sendiri kekal berkuat kuasa.
Bagaimanapun, proses pendengaran penuh berhubung rayuan Kelab Bola Sepak Selangor terhadap kes tersebut masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.