Kontinjen Malaysia Sasar 6 Emas Sukan Asia 2026

September 8, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Chef de Mission (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan meletakkan sasaran untuk membawa pulang enam pingat emas daripada temasya Sukan Asia 2026 yang berlangsung di Aichi dan Nagoya, Jepun.

Sasaran tersebut dikongsikan sendiri oleh Sumali dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 pada hari ini.

Selain daripada enam pingat emas, Sumali turut menyasarkan Malaysia untuk meraih 7 pingat perak dan 20 pingat gangsa menjadikan 33 keping pingat secara keseluruhan.

Kesemua warna pingat itu disasarkan pada 13 sukan iaitu berbasikal trek, badminton, memanah, akuatik terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sports dan menembak.

“Kita menyedari bahawa persaingan di peringkat asia amat tinggi, satu temasya yang besar, namun begitu sasaran ini ditetapkan berdasarkan prestasi semasa, rekod pencapaian atlet yang terkini serta potensi pingat bagi setiap sukan.” 

“Yang paling penting adalah kita mahu setiap atlet yang turun bertanding memberikan prestasi terbaik dan berjuang sehingga ke saat akhir. Sasaran pingat ini bukan sekadar angka tetapi menjadi panduan dan juga motivasi kepada seluruh kontinjen yang bertanding di sana.” kata Sumali.

Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia kali ini dianggotai 352 orang atlet diiringi 185 orang pegawai untuk bertanding dalam 30 daripada 43 jenis sukan. 

Turut dimaklumkan kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 156 daripada 469 acara yang dipertandingkan. Penyertaan ini merangkumi 79 acara lelaki, 58 acara wanita dan 19 acara campuran.

Daripada jumlah 352 orang atlet tersebut, seramai 15 orang merupakan atlet Program Road to Gold (RTG), 158 orang Program Podium, 14 orang Program Pelapis dan 169 orang di bawah Program Berfasa.

Pada masa yang sama, kontinjen kali ini turut membariskan seramai 110 orang atlet berusia di bawah 21 tahun – menjadi tanda positif kepada pembangunan sukan Malaysia di peringkat asia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd