Pencabar Kuching City Lantik Pengendali Dari Portugal

September 10, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Satu daripada pencabar Kuching City FC dalam saingan Kejohanan ASEAN Piala Shopee 2026-27 peringkat Kumpulan A iaitu Buriram United FC mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu – Mario Silva.

Buriram United yang juga merupakan juara bertahan melantik pengendali kelahiran Portugal berusia 49 tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mark Jackson yang melepaskan jawatan sehari sebelum aksi pembukaan Liga Thai 1 2026-26.

Pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama Porto FC semasa bergelar pemain pada musim 2003-04 menyertai Buriram United selepas dua musim membimbing Al-Najma yang berpangkalan di Arab Saudi.

Pada musim pertamanya, Silva berhasil memacu kelab yang bermain dalam divisyen kedua itu meraih promosi ke saingan Liga Pro Saudi (SPL). Bagaimanapun, prestasi Al-Najma bergelut pada musim berikutnya menyaksikan Silva dilepaskan pada Februari lalu.

Sebelum bertandang ke benua Asia, karier kejurulatihan Silva di negara kelahirannya dan Sepanyol dengan membimbing Santa Clara, Rio Ave, Almeria, Padroense, Boavista dan skuad pelapis Porto. 

Silva akan mengendalikan perlawanan pertamanya bersama Buriram United pada 11hb September (Jumaat) bertemu Chianrai United bagi aksi kedua Liga Thai 1.

Sementara itu, aksi pertamanya dalam kancah Piala Shopee akan berhadapan wakil Indonesia iaitu Borneo FC Samarinda pada 7hb Oktober (Rabu).

FEATURED IMAGE: Buriram United FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd