Misbun, Jalani Dilantik Sebagai Duta Testimoni MSC Physoxic
Hafiz Omar
Yakin Splendour Global Holdings Berhad (Yakin), peneraju bioteknologi Malaysia yang memfokuskan kepada perubatan regeneratif dan terapi selular tampil melantik dua legenda badminton tanah air, Datuk Misbun Sidek dan Dato’ Seri Jalani Sidek sebagai Duta Testimoni Sel Stem Mesenchymal (MSC) Physoxic.
Pelantikan itu dirasmikan oleh Pengarah Jualan & Pemasaran, Perhubungan Awam dan Sumber Manusia, Datuk Steven Lai dalam satu majlis yang berlangsung di TRX Mall, pada Selasa.
Peranan itu menyaksikan Misbun dan Jalani akan berkongsi pengalaman serta meningkatkan kesedaran mengenai terapi sel stem Physoxic sebagai alternatif dalam pemulihan kecederaan dan juga pembedahan bagi kecederaan sukan.

“Anak-anak Sidek terus menyumbang kepada negara melalui usaha dan komitmen mereka dalam pembangunan sukan badminton sebagai jurulatih dan mentor yang disegani. Pelantikan mereka sebagai Duta Testimoni MSC Physoxic Yakin mencerminkan nilai bersama dalam aspek kecemerlangan, ketahanan dan dedikasi dalam mengalakkan kesihatan serta kesejahteraan,” kata Steven Lai.
Sementara itu, Misbun pula dipetik berkata, “Kami berbangga dapat menyokong dan memperkenalkan terapi MSC Physoxic sebagai satu pilihan pemulihan yang berpotensi membantu atlet dan individu yang aktif untuk pulih tanpa pembedahan,”
Pada masa yang sama, Yakin menekankan pelantikan Misbun dan Jalani bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran awam tetapi untuk mewujudkan hubungan yang lebih kukuh antara perubatan regeneratif dan komuniti sukan.