Ranking BWF: Aidil Sholeh Lonjak 6 Anak Tangga

September 15, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Aidil Sholeh yang menjuarai Terbuka Vietnam 2026 pada Ahad lalu merekodkan lonjakan sebanyak enam anak tangga sekaligus meletakkan di tangga ke-85 dalam Ranking Dunia.

Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskininya pada hari ini sambil menunjukkan pemain berusia 26 terbabit telah mengumpul 22,640 mata secara keseluruhan.

Pada Ahad lalu, Aidil meraih gelaran juara di saingan Jelajah BWF Super 100 berkenaan selepas menumpaskan Jason Teh Jia Heng dari Singapura menerusi skor 21-16 dan 21-14 dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, kemaskini pada hari ini turut menyaksikan perseorangan lelaki No.1 dan No.2 negara iaitu Leong Jun Hao dan Justin Hoh merekodkan penurunan dua dan tiga anak tangga masing-masing.

Penurunan itu meletakkan Jun Hao di tangga ke-33 dunia sementara Justin pula di tangga ke-48 dunia.

Manakala Lee Zii Jia yang terkandas seawal pusingan 32 di Terbuka Vietnam pula kekal di tangga ke-58 dunia.

FEATURED IMAGE: Instagram Aidil Sholeh

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd