Ab Ghani Akan Letak Jawatan Presiden MFL 

September 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dato’ Ab Ghani memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) sekaligus menoktahkan kepimpinannya dalam badan penganjur bola sepak domestik sejak tahun 2021.

Keputusan itu dikongsikan Ab Ghani selepas memenangi kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sesi pemilihan yang berlangsung semasa Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026, pada hari ini.

Berdasarkan Statut FAM yang telah dipinda pada Jun lalu, Presiden MFL akan mengisi jawatan Naib Presiden 2 FAM secara automatik. Keputusan Ab Ghani untuk meletakkan jawatannya akan membuka jalan untuk melihat individu lain mengisi jawatan Naib Presiden 2 terbabit.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Malaysian Football League (@mfl_my)

“Insya-Allah tak lama lagi saya akan meletakkan jawatan sebagai Presiden MFL. saya dan rakan-rakan akan memastikan siapakah yang akan mengambil alih (tugas) saya selaku Presiden MFL dan mengisi jawatan Naib Presiden 2 FAM,” katanya dalam sidang media selepas kongres, sebentar tadi.

Ab Ghani turut memaklumkan pihaknya sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan tersebut namun perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu oleh Lembaga Pengarah MFL. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai nama individu yang tercalon tersebut.

Terdahulu, Ab Ghani yang pernah bergelar pemain bola sepak pada era 1980-an memenangi perebutan dua penjuru kerusi Presiden FAM selepas mengaut 20 undi sekaligus menumpaskan pencabarnya, Dato’ Sri Shahril Mokhtar yang sekadar meraih lima undi.

Kemenangan itu menyaksikan Ab Ghani dilantik sebagai Presiden FAM yang kesembilan dalam sejarah badan induk bola sepak tanah air sejak tahun 1951.

FEATURED IMAGE: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd