Tunku Mahkota Ismail Ucap Tahniah Kepada Ab Ghani
Hafiz Omar
Kejayaan Dato’ Ab Ghani memenangi kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mendapat ucapan tahniah daripada Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail.
Baginda menzahirkan ucapan tahniah itu menerusi akaun media sosial rasminya selepas Ab Ghani diumumkan sebagai pemenang mengatasi pencabarnya, Dato’ Sri Shahril Mokhtar pada hari ini.
“Tahniah kepada Dato’ Ab Ghani Hassan dan barisan kepimpinan baharu FAM yang telah menerima kepercayaan yang jelas dari delegasi-delegasi bagi menerajui bola sepak Malaysia.” tulis baginda sambil mengepilkan sekeping foto bersama Ab Ghani dan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Tahniah kepada Dato’ Ab Ghani Hassan dan barisan kepimpinan baharu FAM yang telah menerima kepercayaan yang jelas dari delegasi-delegasi bagi menerajui bola sepak Malaysia. pic.twitter.com/DoqOdSCiHc
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) September 17, 2026
Ab Ghani merekodkan kemenangan bergaya dalam pemilihan kali ini apabila mendapat 20 undi daripada para perwakilan mengatasi Shahril yang sekadar meraih lima undi.
25 para perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan kali ini turut memilih Datuk Seri Rosmadi Ismail (Naib Presiden 1) dan Datuk Saaran a/l Nadarajah (Naib Presiden 3) serta tujuh Ahli Jawatankuasa (AJK) atau Exco iaitu Mohd Azizudin Mohd Shariff, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil, Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan, Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Dato’ Suraya Yaakob.
FEATURED IMAGE: HRH Crown Prince of Johor Facebook