Ab Ghani Akan Bincang Pelantikan Ketua Jurulatih Baharu Harimau Malaya
Hafiz Omar
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Dato’ Ab Ghani Hassan memberikan bayangan awal untuk melantik ketua jurulatih baharu bagi skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.
Beliau sedia membincangkan perkara berkenaan namun pada saat ini Ab Ghani memberikan peluang kepada ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe untuk membuktikan keupayaannya dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Boleh bagi peluang, tapi kadang-kadang kita perlukan satu benda yang baru juga untuk kita bawa (ke hadapan).”
“Tapi kalau Tan Cheng Hoe boleh menunjukkan prestasi yang amat baik, itu boleh kita tengok macam mana kelak, Insya-Allah,” katanya dalam sidang media selepas selesai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029.

Sekitar penghujung Jun lalu, FAM mengumumkan Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan iaitu Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih interim bagi menggantikan Peter Cklamovski.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ab Ghani meletakkan sasaran skuad Harimau Malaya kembali mengungguli bola sepak di rantau Asia Tenggara selain mencipta nama di peringkat benua Asia.
Beliau turut mengharapkan Harimau Malaya dapat menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA yang berlangsung di negara jiran tetangga, Indonesia di kedudukan terbaik.
Edisi sulung Piala ASEAN FIFA itu dijadualkan berlangsung dari 24hb September sehingga 5hb Oktober dengan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Indonesia dan Bangladesh dan Singapura.
FEATURED IMAGE: Malaysia NT