Sivasangari Terlepas Tiket Akhir Qatar Classic 2026

September 18, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perseorangan wanita skuasy negara, Sivasangari Subramaniam terpaksa akur tewas sekaligus terlepas peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir saingan Qatar Classic 2026 – sebuah kejohanan bertaraf Platinum dalam Jelajah Skuasy PSA.

Bagaimanapun, Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan memberikan tentangan sengit kepada pemain No.1 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy ketika bertembung pada peringkat separuh akhir, lewat malam tadi (waktu Malaysia).

Pertarungan epik merebut slot ke pentas akhir itu bermula dengan Sivasangari mencatatkan kemenangan 11-8 pada set pertama sebelum Hania bangkit melakar kemenangan 11-9 pada set kedua.

Memasuki set ketiga, pertarungan bertambah sengit namun Hania berhasil menoktahkannya dengan kemenangan 15-13 ke atas Sivasangari.

Set berikutnya, Sivasangari sempat memperkemaskan semula permainannya dan melakar kemenangan menerusi skor 11-9 sekaligus mengheret Hania ke set kelima untuk mencari pemenangnya. 

Pertarungan pada set terakhir turut berlangsung sengit namun peluang Sivasangari untuk ke perlawanan akhir lebur apabila Hania mempamerkan ketenangan untuk mengutip dua mata terakhir ketika “deuce” untuk menamatkan permainan dengan skor 12-10.

Kemenangan Hania pada peringkat separuh akhir itu membawanya bertemu pencabar senegaranya, Amina Orfi yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan untuk merebut gelaran juara Qatar Classic 2026.

FEATURED IMAGE: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd