De Bruyne Belum Fikir Bersara Bersama Belgium

September 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bekas perancang tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, 35 tahun, belum memikirkan persaraan di peringkat antarabangsa dan mahu terus menyumbang bakti bersama skuad kebangsaan Belgium.

De Bruyne yang kini menjadi satu-satunya pemain daripada generasi emas skuad berjulukan Red Devils menegaskan akan terus menyarung jersi Belgium lebih-lebih lagi masih cergas selain permintaan rakan sepasukannya yang menginginkannya kekal.

Bahkan, pemain yang telah mengumpul 124 kap bersama Belgium itu turut mensasarkan untuk terus beraksi sehingga EURO 2028 anjuran bersama England, Scotland, Wales dan Republik Ireland.

“Tidak, itu tidak pernah menjadi persoalan bagi saya. Jurulatih ada bertanya apa yang saya mahu lakukan. Perasaan saya selepas Piala Dunia ialah saya masih menikmatinya. Ramai pemain juga meminta saya untuk terus kekal.”

“Saya juga berasa sihat dari segi fizikal dan masih mahu bermain. Itu motivasi paling penting. Selagi saya masih mempunyai motivasi itu, mengapa saya perlu berhenti?” katanya dalam sidang media bersama skuad kebangsaan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, De Bruyne menyaksikan rakan lamanya seperti Axel Witsel mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa manakala penjaga gol, Thibaut Courtois pula tidak menyertai Liga Negara-Negara UEFA (UNL).

De Bruyne, yang kini bermain bersama Napoli dalam kancah Serie A, memaklumkan dirinya tidak memerlukan perancangan sedemikian dan akan bersara apabila tiba masanya.

Untuk makluman, Belgium kini memulakan era baharu dengan Mark van Bommel mengambil peranan sebagai ketua jurulatih menggantikan Rudi Garcia yang tidak disambung kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium.

FEATURED IMAGE: Belgian Red Devils Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd