Sukan Asia: Malaysia Ke Pentas Akhir Sepak Takraw Regu Berpasukan

September 24, 2026
Sepak Takraw

Hafiz Omar

Skuad sepak takraw lelaki berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir acara regu berpasukan Sukan Asia 2026 sekaligus semakin hampir untuk menamatkan penantian 36 tahun merangkul pingat emas dalam acara itu.

Malaysia bimbingan Ahmad Jais Baharun mengesahkan kemaraan itu selepas mengalahkan Indonesia, 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di  Gelanggang 2, Gimnasium Mizuho Park Nagoya City, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Malaysia bermula langkah kiri dengan trio Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Zawawi gagal memberikan mata pada set pertama susulan tewas 15-10, 13-15 dan 13-15 kepada gandingan Saiful Rijal, Yudha Aswinatama dan Muhammad Hardiansyah Muliang.

Namun begitu, Malaysia berhasil bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada set seterusnya menerusi trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam yang menewaskan lawannya menerusi skor 15-10 dan 15-6.

Pada set penentuan gandinga negara yang terdiri daripada Zarif Marican, Amirul Zazwan dan Hafizul Hayazi serta pemain gantian, Haziq Hairul melengkapkan kebangkitan 2-1 Malaysia dengan menumpaskan Indonesia 11-15, 15-11 dan 15-11.

Perlawanan akhir menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan dengan satu lagi negara kuasa besar sepak takraw merangkap juara bertahan iaitu Thailand.

Terdahulu, Thailand melakar kemaraan selepas menundukkan skuad tuan rumah, Jepun dengan keputusan 2-0.

Perlawanan akhir merebut pingat emas itu dijadualkan berlangsung pada jam 1 petang (waktu Malaysia) pada hari Jumaat (25hb September).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas dalam acara ini di temasya Sukan Asia adalah pada tahun 1990 ketika ianya berlangsung di Beijing, China.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd