Sukan Asia: Regu Berpasukan Negara Rangkul Emas Selepas 36 Tahun
Hafiz Omar

Malaysia berjaya menoktahkan kemarau 36 tahun pingat emas dalam kategori regu berpasukan di Sukan Asia apabila skuad sepak takraw lelaki berjaya menumpaskan Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi.
Kilauan emas sah menjadi milik Malaysia selepas taruhan trio Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Zawawi melakar kemenangan bergaya menerusi skor 15-13 dan 15-10 pada set kedua.
Sebelum itu, Malaysia bermula dengan langkah kanan di Paloma Mizuho Arena apabila gandingan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam bertarung sengit menumpaskan Phutawan Sopa, Pornthep Tinbangbon dan Marukin Phanmakon menerusi skor 15-9, 5-15 dan 15-11 pada set pertama.
Kemenangan ini bukan sahaja menamatkan penantian panjang Malaysia sejak 1990 untuk meraih pingat emas dalam regu berpasukan bahkan menjadi episod balas dendam selepas tewas di tangan Thailand dalam perlawanan akhir Piala Raja Thai 2026, Ogos lalu.
Sebagai tambahan, ini merupakan pingat emas keempat diraih Kontinjen Malaysia selepas membutirkannya menerusi sukan karate dan e-sukan.
FEATURED IMAGE: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia – PSM Facebook