Sukan Asia: Malaysia, India Rebut Pingat Emas Hoki

October 1, 2026
Hoki

Hafiz Omar

Skuad hoki lelaki kebangsaan akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, India untuk merebut kilauan pingat emas dalam acara hoki lelaki di Sukan Asia 2026.

Pertembungan itu terhasil apabila anak-anak buah Brendon Carolan berjaya menumbangkan Republik Korea 2-1 pada peringkat separuh akhir di Gifu Prefectural Green Stadium, petang tadi.

Skuad berjulukan Speedy Tigers meraih jaringan pertamanya menerusi pukulan sudut penalti oleh Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-40.

Selang dua minit kemudian, Korea merangkap juara empat kali berhasil menyamakan kedudukan menerusi gol padang oleh Lee Gangsan.

Namun begitu, Malaysia tidak menunggu untuk kembali mendahului 2-1 apabila Azrai sekali lagi memasukkan bola ke dalam gawang menerusi jaringan penalti strok pada minit ke-45.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MHC (@malaysianhockeyconfederation)

Jaringan itu menyuntik semangat para pemain dan pendahuluan tipis itu bertahan sehingga ke tiupan wisel penamat biarpun diasak bertubi-tubi oleh Korea.

sehingga umpire dari Afrika Selatan, Sean Rapaport meniup wisel menamatkan permainan sekaligus mengesahkan kemenangan Malaysia.

Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga Malaysia mara ke perlawanan akhir acara hoki lelaki di temasya Sukan Asia selepas edisi 2010 dan 2018.

Selain berhasrat mencipta sejarah membutirkan emas pertama dalam acara hoki lelaki di temasya Sukan Asia, perlawanan akhir menentang juara lima kali pada Sabtu turut menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sebagai rekod, kali terakhir Speedy Tigers beraksi di temasya Olimpik adalah 26 tahun yang lalu di Sydney, Australia.

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd