Piala ASEAN FIFA: Kemenangan 9-2 Indonesia Kekang Malaysia Ke Perlawanan Akhir

October 1, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Malaysia bimbingan Tan Cheng Hoe terpaksa akur gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA 2026 selepas Indonesia merakamkan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh, sebentar tadi.

Kemenangan besar skuad berjulukan Garuda di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu menyaksikan Indonesia menamatkan kempen peringkat Kumpulan A selaku juara dengan kelebihan 2 jaringan gol (GF) biarpun berkongsi kutipan 7 mata dan 9 perbezaan gol (GD) yang sama.

Selaku juara Kumpulan A, Indonesia layak ke perlawanan akhir untuk merebut trofi kejuaraan bagi Divisyen 1.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Malaysia National Team (@malaysia_nt)

Sementara itu, Malaysia yang berhadapan Singapura pada waktu yang sama di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung melakar kemenangan 6-0 hasil jaringan hatrik Bergson da Silva (8’, 62’, 90’+3) serta satu gol daripada Stuart Wilkin (26’), Paulo Josue (76’) dan Syahir Basha (87’) masing-masing.

Malaysia yang muncul naib juara Kumpulan A pula akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga.

Indonesia dan Malaysia akan menantikan juara dan naib Kumpulan B samada Thailand atau Vietnam untuk menentukan lawan masing-masing.

Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga edisi sulung Piala ASEAN FIFA ini dijadualkan berlangsung pada 5hb Oktober (Isnin) di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

FEATURED IMAGE: Malaysia NT Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd