Malaysia Kutip 9 Emas, Ulangi Pencapaian Sukan Asia 2010
Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Datuk Mohd Sumali Reduan menutup temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kutipan sembilan pingat emas menerusi karate, e-sukan, sepak takraw, skuasy dan basikal trek.
Kutipan sembilan keping emas itu mengulangi pencapaian Malaysia di Sukan Asia Guangzhou 2010 – pencapaian terbaik kontinjen negara dalam sejarah penyertaan Sukan Asia.
Emas pertama Malaysia hadir menerusi Adeola Fay Robert menerusi acara kumite wanita bawah 55 kilogram (KG), diikuti Taj Izrin Aiman Taj Madira yang mencipta sejarah sebagai wakil e-sukan pertama negara yang memenangi emas Sukan Asia menerusi perlumbaan simulasi Gran Turismo 7.
Selepas itu, atlet karate membutirkan satu lagi pingat emas menerusi Shahmalarani Chandran yang mengungguli acara kumite wanita bawah 50KG.
Sukan sepak takraw memberikan detik bersejarah di temasya Sukan Asia kali apabila bukan sahaja menghadirkan emas bahkan turut menamatkan penantian 36 tahun untuk bergelar juara dalam acara regu berpasukan menerusi Syahir Rosdi, Muhammad Haziq, Zulkifli Abd Razak, Zarif Marican, Hafizul Hayazi, Farhan Adam, Azlan Alias, Aidil Aiman, Amirul Zazwan, Zuleffendi Sumari, Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman.
Skuasy menjadi kem paling cemerlang buat Malaysia apabila berjaya menjelmakan empat keping emas menerusi Ng Eain Yow (perseorangan lelaki) dan Sivasangari Subramaniam (perseorangan wanita) serta berpasukan lelaki (Ameeshenraj Chandaran, Eain Yow, Sanjay Jeeva dan Syafiq Kamal) dan berpasukan wanita (Aifa Azman, Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Mae Arnold).
Kejayaan Eain Yow dan Sivasangari turut diiringi dengan perolehan tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 – julung kalinya bakal dipertandingkan di pentas Olimpik.
Angka sembilan keping emas itu dilengkapkan oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menerusi acara kegemarannya iaitu keirin – mengulangi kemenangannya ketika beraksi di Sukan Asia 2010.
Kutipan sembilan pingat emas ini melepasi sasaran enam pingat emas yang diumumkan oleh Sumali sebelum terbang ke negara matahari terbit sekitar awal September lalu.
Selain itu, Malaysia turut membawa pulang tujuh pingat perak dan 16 pingat gangsa yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 32 keping pingat dan menempatkan diri di tangga ke-11.
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia