KBS Tangguh Sambutan Hari Sukan Negara

October 9, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan menangguh sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil pada 10hb Oktober (Sabtu).

Penangguhan itu diumumkan kementerian menerusi satu siaran media yang disiarkan pada hari ini perkembangan kualiti udara dan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di dalam negara. 

Jelas pihak kementerian, keputusan itu diambil selepas mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai.

“KBS memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas pengertian serta kerjasama semua pihak.” tulis KBS dalam siaran media berkenaan.

Sementara itu, tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar.

Bagaimanapun, KBS menyatakan penganjuran HSN di peringkat negeri dan lain-lain peringkat serta lokasi adalah tertakluk kepada situasi setempat dan ketetapan pentadbiran masing-masing.

“Di kesempatan ini, KBS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat masa ini serta sentiasa mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa.” tambah kenyataan oleh KBS.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd