F1 Guna Enjin V8 Baharu Pada 2030
Hafiz Omar
Jentera Formula 1 (F1) akan kembali menggunakan enjin V8 bermula musim 2030 dengan Africa Grand Prix (GP) di Rwanda menjadi perlumbaan pertama menggunakan enjin berkenaan.
Pengesahan itu hadir menerusi Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem dalam satu sidang media selepas mengumumkan kemasukan Rwanda sebagai satu daripada destinasi perlumbaan F1 bermula 2030 kelak.
“Pelancaran enjin V8 baharu akan dibuat pada 2030. Jadi, Rwanda akan menjadi perlumbaan pertama menggunakan enjin tersebut.” katanya menerusi satu klip video berdurasi 58 saat.
View this post on Instagram
Beliau yang merupakan bekas pelumba rali menjelaskan penggunaan semula enjin V8 adalah bertujuan untuk mengurangkan berat jentera, menjadikan kos lebih mampan serta memenuhi permintaan peminat yang menyukai konfigurasi serta ngauman enjin berkenaan.
Mohammed berkeyakinan tinggi bahawa enjin V8 tersebut akan digunakan bermula 2030 atas faktor sokongan yang diberikan oleh Formula One Management (FOM), Formula One serta para pengeluar.
Pada ketika ini, jentera F1 menggunakan enjin V6 pengecas turbo digabungkan dengan sistem pemulihan tenaga elektrik.
Penggunaan enjin atau turut dipanggil unit kuasa ini mendapat kritikan bukan sahaja daripada para peminat bahkan pemandu-pemandu F1 sendiri berikutan prestasi yang hambar dan terlalu bergantung kepada teknologi canggih.
Kali terakhir F1 menggunakan enjin V8 adalah pada musim 2013 sebelum bermula dengan enjin V6 hibrid pada musim berikutnya.
FEATURED IMAGE: F1