12 Atlet Muda Sertai Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 – Sasar 1 Pingat

October 15, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 yang berlangsung dari 31hb Oktober hingga 13hb November kelak akan menyaksikan pembabitan kontinjen negara yang dianggotai 12 atlet muda.

Kontinjen yang terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam wanita itu akan bertanding dalam 16 acara melibat sembilan jenis sukan iaitu olahraga, renang, badminton, bola tampar pantai, breaking, lawan pedang, pelayaran, skateboard dan wushu.

Kontinjen Malaysia kali ini terbang ke Dakar dengan diketuai bekas juara dunia wushu 2017 dan 2023, Wong Weng Son selaku Chef De Mission (CDM) serta empat pegawai sekretariat dan sembilan jurulatih.

Sasaran satu pingat tanpa penetapan sebarang warna khusus untuk dibawa pulang ke tanah air turut dipertanggungjawabkan ke atas Kontinjen Malaysia.

Untuk makluman, temasya kali ini mencatat sejarah sebagai Olimpik Remaja pertama yang dianjurkan di benua Afrika dengan membawakan slogan ‘Africa Welcomes, Dakar Celebrates’. 

Ia dijangka menghimpunkan 2,700 atlet muda dari seluruh dunia, dengan penekanan terhadap prinsip ‘Universality and Gender Equality’ bagi menggalakkan penyertaan yang seimbang antara atlet lelaki dan wanita.

FEATURED IMAGE: KBS Malaysia Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd