Natasha Rangkul Perak Di Piala Dunia IBF 2026
Hafiz Omar

Malaysia membawa pulang pingat perak daripada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2026 selepas Natasha Mohamed Roslan menamatkan acara perseorangan wanita selaku naib juara.
Atlet berusia 30 tahun kelahiran Petaling Jaya itu terlepas peluang untuk mengulangi kejuaraan yang diraihnya pada tahun lalu selepas tewas kepada wakil Perancis, Manon Clement dalam pertarungan yang berlangsung di Munich, Jerman awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dalam perlawanan akhir terbabit, Natasha bermula dengan langkah kiri tewas set permainan pertama 198-231 sebelum bangkit pada set permainan kedua menerusi skor 286-147.
Bagaimanapun, Natasha gagal meneruskan momentum pada set permainan ketiga apabila tewas 168-204 sekaligus terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Hong Kong, Natasha mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama yang menjuarai Piala Dunia IBF dengan menewaskan Birgit Noreiks dari Jerman menerusi skor 217-166 dan 226-169 dalam perlawanan akhir.
FEATURED IMAGE: Bowling Malaysia Facebook