Terbuka Silicon Valley: Sivasangari Ke Suku Akhir Ketepikan Aifa

October 22, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perseorangan wanita skuasy No.1 negara, Sivasangari Subramaniam mengesahkan tempat ke suku akhir di Terbuka Silicon Valley 2026 – satu daripada siri Jelajah Skuasy PSA bertaraf Gold. 

Pemain berusia 27 tahun berkenaan mencetak kemaraan itu selepas mengetepikan rakan senegara, Aifa Azman di pusingan kedua selepas bertarung sengit selama 44 minit, pada pagi tadi (waktu Malaysia).

Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan terlebih dahulu tewas set pertama 6-11 sebelum bangkit mencetak kemenangan 11-2 pada set kedua.

Set seterusnya, Sivasangari kembali tewas 2-11 namun bangkit sekali lagi untuk menoktahkan set keempat menerusi skor 11-3 sebelum mengesahkan kemenangan pada set kelima menerusi skor 11-7.

Peringkat berikutnya, Sivasangari akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Malaysia iaitu Rachel Arnold yang menghuni ranking ke-22 dunia.

Rachel, 30 tahun, meraih tiket ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan kelima kejohanan dari Amerika Syarikat, Amanda Sobhy menerusi skor 11-9, 8-11, 13-11, 11-13 dan 11-8 dalam masa 52 minit.

FEATURED IMAGE: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd