Yes & Ryt Bank Memeterai Kerjasama Bersama FAM

October 29, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Syarikat telekomunikasi, Yes dan bank digital, Ryt Bank tampil mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertujuan untuk membawa rakyat Malaysia lebih dekat dengan bola sepak dan menyokong pembangunan sukan No.1 tanah air terbabit.

Kerjasama itu, difahamkan berlangsung selama dua tahun, dimeterai secara rasmi dalam satu majlis khas yang berlangsung di Menara YTL, Kuala Lumpur, pada hari ini.

Menerusi kerjasama itu, Yes dan Ryt Bank diangkat sebagai Rakan Rasmi FAM di bawah slogan “Demi Bola Sepak Malaysia” dimana mereka bergandingan untuk meraikan peranan bola sepak dalam menyatukan rakyat Malaysia merentasi komuniti dan generasi sementara membuka peluang baharu buat penyokong dan pemain muda untuk berkecimpung dalam sukan ini.

Pada masa yang sama, kerjasama ini akan memanfaatkan kedua-dua jenama termasuk penyambungan termaju Yes 5G dan servis perbankan digital Ryt Bank. Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjadikan pengalaman bola sepak lebih mudah diakses, terhubung dan berbaloi di dalam dan luar padang.

Menariknya, Yes telah merancang manfaat buat para penyokong seperti tiket perlawanan dan cenderamata edisi terhad. Selain itu, mereka akan membawakan keupayaan 5G untuk inisiatif penglibatan peminat dan kandungan digital.

Sementara itu, Ryt Bank pula akan menyokong pengalaman harian melibatkan bola sepak seperti sesi futsal bersama dan berkumpul dengan rakan-rakan pada hari perlawanan. Tiket perlawanan, cenderamata edisi terhad dan lain-lain tawaran juga dirancang sepanjang kerjasama ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd