CelcomDigi, ZK Racing Team Bekerjasama Sokong MotoMini Malaysia

October 29, 2026
Permotoran

Hafiz Omar

CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi platform Arena CelcomDigi tampil menjalinkan kerjasama dengan ZK Racing Team bagi menyokong MotoMini Malaysia.

Ia merupakan satu inisiatif pembangunan bakat akar umbi yang memberi tumpuan kepada pembentukan generasi baharu motosikal Malaysia.

Menerusinya, kerjasama itu akan menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sukan permotoran sambil menekankan kepentingan pembangunan atlet secara berterusan menerusi latihan profesional dan pendedahan kepada pertandingan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen CelcomDigi dalam melahirkan juara masa hadapan dengan mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak muda merealisasikan potensi dan cita-cita mereka dalam sukan.

Selaras dengan aspirasi Arena CelcomDigi untuk menghubungkan rakyat Malaysia melalui gaya hidup aktif dan sukan, kerjasama ini turut memperkukuh sokongan CelcomDigi terhadap bakat sukan permotoran tempatan seperti pelumba muda, Hakim Danish dan Qabil Irfan, yang telah mencipta nama di pentas antarabangsa.

Melalui kerjasama ini, dua pelumba muda berpotensi akan dikenal pasti dan dibimbing dalam perkembangan kerjaya mereka. Mereka juga berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada Hakim dan Qabil menerusi sesi perkongsian dan bimbingan, termasuk pengalaman bersaing di peringkat tertinggi perlumbaan motosikal antarabangsa.

Untuk makluman, MotoMini Malaysia terbuka kepada peserta seawal usia enam tahun dan program ini menyediakan laluan pembangunan yang tersusun bermula daripada perlumbaan peringkat akar umbi sehingga ke tahap yang lebih tinggi. 

Pada masa yang sama, peserta turut berpeluang melangkah ke pentas antarabangsa seperti FIM MiniGP World Final di Valencia, Sepanyol.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd