Terbuka AS: Sivasangari Melangkah Ke Pusingan Kedua
Hafiz Omar
Jaguh skuasy wanita negara, Sivasangari Subramaniam bermula dengan langkah kanan sekaligus melangkah dengan bergaya ke pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2026 – Jelajah Skuasy PSA bertaraf Platinum.
Pemain berusia 27 tahun yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan itu mara selepas mengetepikan rakan senegara, Aifa Azman menerusi skor 11-2, 11-4 dan 11-6 dalam masa 22 minit pada pusingan pertama yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Kemenangan itu membawanya bertemu pemain Mesir, Kenzy Ayman yang menghuni ranking ke-25 dunia pada pusingan seterusnya.
Terdahulu, Ayman mara selepas mengetepikan pemain tuan rumah, Alex Jaffe selepas bertarung sengit lima set permainan sebelum memenanginya menerusi skor 12-10, 12-10, 6-11, 9-11 dan 11-6.
Sebagai rekod, Sivasangari yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Silicon Valley baru-baru ini pernah berentap dengan Ayman sebanyak empat kali.
Kesemua perlawanan itu berjaya dimenangi oleh Sivasangari.
FEATURED IMAGE: PSA Squash Tour