SNBJ Dinaik Taraf, SSI Venue Perlawanan Akhir Piala FA 2026-27
Hafiz Omar

Badan penganjur saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) tampil mengumumkan Stadium Sultan Ibrahim merangkap gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2026-27.
Perlawanan akhir itu dijadualkan berlangsung pada 16hb Januari 2027 (Sabtu) kelak.
MFL dalam satu kenyataan berkongsikan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan sebagai venue perlawanan akhir bagi pertandingan kalah mati itu susulan kerja-kerja naik taraf padang, trek balapan dan pelbagai fasiliti untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
Menurut pemiliknya, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberitahu kerja-kerja itu dijangka siap pada Mei 2027.
MFL hari ini mengumumkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Januari 2027.
https://t.co/Ih9QXXWpdf
#PialaFA2026-27 #DemiLigaKita #LigaMalaysia
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 4, 2026
Keputusan memilih SSI sebagai venue perlawanan akhir Piala FA itu telah dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Penggal 2025-2029 pada 3hb November, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, MFL menjelaskan keputusan memilih SSI telah mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir terbabit seperti permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium yang merangkumi pentas utama, corporate suite, akses ke stadium dan operasi produksi siaran langsung.
Untuk rekod, SSI sudah pernah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA pada musim 2023 yang menyaksikan JDT menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0 pada 22hb Julai 2023.
Pada saat ini, empat pasukan iaitu JDT, DPMM FC, Selangor FC dan Kuching City FC sedang merebut tempat ke perlawanan akhir. Dua pasukan yang layak ke perlawanan akhir akan diketahui pada 8hb November (Ahad) kelak selepas selesai aksi timbal balik separuh akhir.
FEATURED IMAGE: JOHOR Southern Tigers