Star City FC, UUM Bekerjasama Bentuk Skuad B-20 Sertai Liga A2
Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di utara semenanjung, Star City FC mengadakan satu kerjasama strategik dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membentuk Star City FC Bawah 20 Tahun (B-20).
Skuad pelapis itu dibentuk bagi menyertai divisyen ketiga bola sepak tanah air iaitu Liga A2 Amateur 2026-27 yang akan membuka tirainya pada 14hb November kelak.
“Langkah ini diwujudkan bertujuan menyediakan platform kompetitif peringkat kebangsaan buat bakat-bakat muda, khususnya dalam kalangan penuntut universiti dan pemain pembangunan tempatan.” tulis kenyataan rasmi Star City FC.
Menerusi kerjasama dan pembentukan skuad terbabit, barisan pemain bakal memanfaatkan fasiliti latihan moden selain kepakaran kejurulatihan UUM untuk mengharungi kempen Liga A2.
Pada masa yang sama, kerjasama ini membolehkan penekanan terhadap keseimbangan antara pencapaian sukan dan akademik terhadap para pemain selain memburu kejayaan di atas padang.
Untuk maklumkan, Star City FC B-20 telah diletakkan dalam Zon Utara bersama-sama Kuala Perlis Titan FC, Perak FA II dan Kg. Rawa-Butterworth Rangers.
Mereka akan memulakan kempen dengan bertemu Kuala Perlis Titan FC, sepak mula jam 4.45 petan, pada 14hb November di laman sendiri, Stadium UUM, Sintok.
FEATURED IMAGE: Star City FC