Masters Kumamoto: Wei Chong-Kai Wun Bertembung Beregu No.1 Denmark
Hafiz Omar

Gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun akan membuat perhitungan dengan beregu lelaki No.1 Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Lundgaard untuk merebut tiket suku akhir Masters Kumamoto Jepun 2026.
Pertembungan itu terhasil selepas Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai pilihan kelapan berhasil melepasi cabaran yang diberikan oleh Peeratchai Sukphun dan Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand pada pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Wei Chong-Kai Wun bertarung sengit dengan Peeratchai-Pakkapon sebelum menoktahkannya dengan kemenangan 21-18, 21-23 dan 21-13 dalam masa 56 minit.
Sementara itu, Daniel-Mads pula melangkah ke pusingan 16 selepas mengalahkan beregu Malaysia, Nur Mohd Azriyn-Tan Wee Kiong menerusi skor 21-16, 16-21 dan 22-20.
Pertemuan Wei Chong-Kai Wun dan Daniel-Mads pada hari esok bakal menjadi ulangan episod kepada pertarungan sulung mereka di Masters China 2024.
Dalam aksi itu, Daniel-Mads berhasil meraih kemenangan selepas bertarung sengit selama 66 minit sebelum mengakhirinya dengan skor 19-21, 21-19 dan 21-17.
FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia