Petronella Douny Wanita Malaysia Pertama Lulus Lesen AFC Pro
Hafiz Omar

Penolong ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah, Petronella Douny mencipta sejarah sebagai wanita Malaysia pertama yang berjaya memiliki Sijil Kejurulatihan AFC Pro Diploma.
Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), anak jati Kiulu itu memperoleh sijil berkenaan menerusi program JFA-AFC Diploma Course for Elite Female Coaches.
“Peluang tersebut bermula apabila FAM menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang jurulatih mengikuti program kejurulatihan elit berkenaan.”
“Selepas meneliti kelayakan dan latar belakang calon yang bersesuaian, FAM membuat keputusan untuk mencalonkan Petronella bagi mewakili Malaysia dalam program tersebut.”
“Pemilihan itu membolehkan beliau memperoleh pembiayaan biasiswa penuh bagi mengikuti keseluruhan program tanpa perlu menanggung kos penyertaan.” kongsi FAM menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya.
Pencapaian membanggakan oleh Petronella terbabit turut mencerminkan hasil usaha FAM dalam membuka lebih banyak peluang pembangunan dan meningkatkan pengiktirafan terhadap keupayaan jurulatih wanita tempatan di peringkat Asia dan antarabangsa.
FEATURED IMAGE: Sabah Football Association of Malaysia