Kelab Tercorot PL Pecat Pengurus
Hafiz Omar
Kelab yang menghuni tangga tercorot Liga Perdana (PL), Crystal Palace bertindak memecat pengurusnya iaitu Pierre Sage selepas mengendalikan 16 perlawanan musim ini.
Pasukan yang dikenali sebagai The Eagles mengesahkan pemecatan itu menerusi satu kenyataan rasmi pada Khamis yang disiarkan di laman sesawang rasmi serta pelbagai akaun media sosialnya.
Perkembangan itu menyaksikan Sage menjadi pengendali kedua dipecat oleh kelab PL musim ini selepas pengumuman Michael Carrick disingkirkan Manchester United beberapa jam sebelumnya.
“Kelab Bola Sepak Crystal Palace mengesahkan bahawa Pierre Sage melepaskan tugasnya sebagai Pengurus.” tulis kelab yang menghuni tangga ke-20 kancah tertinggi bola sepak England terbabit.
View this post on Instagram
Pihak kelab turut memaklumkan tiga barisan kejurulatihannya iaitu Jamal Alioui, Damien Della Santa dan Sandy Guichard turut mengikuti jejak langkah Sage meninggalkan Crystal Palace.
Untuk makluman, The Eagles terperosok ke tangga tercorot PL selepas sekadar merekodkan dua kemenangan dan satu seri daripada 10 perlawanan musim ini.
Selain itu, Crystal Palace turut merekodkan satu kemenangan sahaja daripada empat perlawanan dalam kempen Liga Europa UEFA setakat ini.
Dua kemenangan lagi direkodkan ketika bertemu Middlesbrough dan Fulham pada pusingan ketiga dan keempat Piala Liga. Mereka bakal menantikan Sunderland di peringkat suku akhir dalam saingan itu.
Crystal Palace memaklumkan pelantikan pengurus baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.
FEATURED IMAGE: Crystal Palace Football Club