Aaron-Roy King Tambah Koleksi Juara Di Masters Kumamoto 2026

November 15, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Aaron Tai dan Yap Roy King menjelmakan satu lagi koleksi kejuaraan dengan memenangi saingan Masters Kumamoto Jepun 2026, pada Ahad. 

Lebih bermakna, Aaron-Roy King yang bergandingan sejak awal Oktober lalu memenangi saingan Jelajah Dunia BWF Super 500 berkenaan dengan menumpaskan Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi – juara dunia edisi 2021.  

Dalam perlawanan akhir itu, Aaron-Roy King yang menghuni tangga ke-57 dunia bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama 16-21 di tangan Hoki-Kobayashi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BAM (@ba_malaysia)

Namun, gandingan berusia 20 dan 25 tahun masing-masing itu bangkit melakar kemenangan pada set kedua menerusi skor 21-13 sebelum mengesahkan kejuaraan dengan menoktahkan set ketiga menerusi skor 21-15.

Perlawanan akhir yang memberikan Aaron-Roy King wang tunai sebanyak AS$39,500 (~RM161,606) dan 9,200 mata itu berlangsung hampir satu jam lamanya.

Pertambahan mata itu dijangka meletakkan Aaron-Roy King dalam kelompok 40 beregu lelaki terbaik dunia apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada Selasa kelak.

Sebagai rekod, gelaran juara di Masters Kumamoto Jepun ini hadir kira-kira sebelum selepas Aaron-Roy King merangkul kejuaraan sulung di saingan Terbuka Artik 2026. 

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd