Piala Cahya Mata 2026: Twenty Four FC Bawa Pulang RM100,000
Hafiz Omar

Twenty Four FC dari Pahang muncul juara Piala Cahya Mata 2026 selepas mengalahkan Jenderata FC dari Perak 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium UNIMAS pada Ahad.
Selaku juara, Twenty Four FC meraih ganjaran utama yang lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM100,000 sementara Jenderata FC yang bergelar naib juara meraih RM70,000.
Terdahulu, kedua-dua pasukan telah mengutip RM20,000 hasil muncul juara saingan di peringkat negeri masing-masing.
Perlawanan akhir itu menutup tirai saingan yang menghimpunkan 256 pasukan amatur dan hampir 6,400 pemain serta pegawai daripada lapan negeri bersaing merebut ganjaran wang tunai berjumlah lebih RM500,000.
Untuk makluman, Piala Cahya Mata edisi tahun ini menyaksikan ianya julung kali dipertandingkan sehingga ke peringkat kebangsaan melibatkan lapan buah negeri.
Ianya merupakan anjuran Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) – sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.