Terbuka Hong Kong: Jun Hao Kandas Pusingan 32

November 18, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Leong Jun Hao tersingkir seawal pusingan 32 dalam saingan Terbuka Hong Kong 2026 – Jelajah Dunia BWF Super 500.

Pemain berusia 27 tahun yang menghuni ranking ke-31 dunia itu tersingkir susulan tewas kepada Dong Tian Yao merangkap perseorangan lelaki ketujuh China.

Dalam pertarungan yang berlangsung selama 34 minit itu, Jun Hao mengalami kekalahan 12-21 pada set pertama diikuti 13-21 pada set kedua.

Kekalahan itu bukan sahaja menyingkirkan Jun Hao daripada saingan ini bahkan menjadikannya mengumpul dua kekalahan berturut-turut di pentas antarabangsa di tangan pemain berusia 23 tahun berkenaan. 

Sebagai rekod, ini merupakan penyingkiran kali ketiga berturut-turut pada pusingan 32 dialami Jun Hao sejak menyertai Terbuka Denmark sekitar pertengahan Oktober lalu.

Sementara itu, Dong Tian yang melangkah ke pusingan 16 akan meneruskan kempennya dengan berentap pemain No.13 dunia dari Perancis, Toma Junior Popov.

FEATURED IMAGE: Badminton Asia Championship

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd