Terbuka Hong Kong: Soon Huat-Shevon Mara Ke Pusingan 16

November 18, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara merangkap pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berhasil menempah tiket ke pusingan 16 di Terbuka Hong Kong 2026.

Kemaraan itu tercipta selepas pasangan yang menduduki tangga ke-12 dunia terbabit berjaya menjinakkan Chen Zhi Yi dan Francesca Corbett dari Amerika Syarikat ketika bertembung di pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung selama 29 minit itu, Soon Huat-Shevon melakar kemenangan bergaya menerusi skor 21-17 pada set pertama diikuti 21-14 pada set kedua. 

Keputusan itu bukan sahaja mengesahkan tempat ke pusingan berikutnya buat pasangan berusia 36 dan 33 tahun masing-masing bahkan melebarkan rekod pertemuan kepada enam kemenangan berturut-turut ke atas Zhi Yi-Francesca sejak bertemu buat julung kalinya di Masters Malaysia pada Mei lalu.

Hasil daripada kemenangan itu, Soon Huat-Shevon bakal membuat perhitungan dengan sepasang lagi beregu dari negara Uncle Sam iaitu Presley Smith dan Jennie Gai. 

Pasangan tangga ke-20 dunia berkenaan mara ke peringkat yang sama setelah bertarung sengit sebelum dapat menyingkirkan wakil Jepun, Haruki Kawabe dan Kokona Ishikawa menerusi skor 21-13, 18-21 dan 24-22 dalam masa 58 minit.

Pertemuan Soon Huat-Shevon dengan gandingan pemain berusia 23 dan 25 tahun masing-masing itu dijangka sengit. Rekod terdahulu di kejohanan antarabangsa menunjukkan pertempuran melibatkan kedua-dua pasangan ini berlangsung dengan seimbang.

Setiap pasangan berhasil melakar satu kemenangan masing-masing daripada dua pertarungan yang berlangsung setakat ini dimana Soon Huat-Shevon merekodkan kemenangan pada pertemuan sulung di Terbuka Malaysia 2025 sementara Presley-Jennie pula berhasil membalas dendam dan mencatatkan kemenangan di Terbuka Malaysia 2026.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd