Imigresen FC II Digantung 2 Musim, Denda RM50,000 Susulan Penarikan Diri

November 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Amateur Football League (AFL) tampil mengesahkan Imigresen FC II menarik diri selepas mengharungi lapan perlawanan Liga A1 Semi-Pro musim 2026-27.

Menerusi satu siaran media oleh AFL, penarikan diri kelab berkenaan telah dimaklumkan secara rasmi menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 18hb November 2026.

Dimaklumkan, AFL telah menjalankan beberapa siri perbincangan dalam usaha untuk menangani isu berkenaan namun pihak pengurusan kelab berkenaan telah nekad dengan keputusan tersebut.

“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri Imigresen FC II, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi Imigresen FC II.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Amateur Football League (@afl_my)

“Rentetan penarikan diri Imigresen FC II, perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada termasuk pembatalan semua perlawanan yang telah dijadualkan melibatkan Imigresen FC II.” tulis AFL menerusi siaran media yang diedarkan kepada pihak media.

Susulan penarikan diri terbabit, AFL turut bertindak menggantung Imigresen FC II daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL selama dua musim iaitu musim 2026-27 dan 2027-28.

Selain itu, kelab berkenaan turut dikenakan denda sebanyak RM50,000.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan mesyuarat pada hari ini mengenakan hukuman yang agak berat ke atas Imigresen FC II berbanding kes-kes penarikan diri pasukan sebelum ini.

Ianya sebagai satu mesej peringatan kepada semua pasukan sedia ada serta yang bakal bersaing di Liga A1 pada musim akan datang agar lebih bersedia dan bertanggungjawab dalam mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan demi menjaga integriti liga.

Saingan Liga A1 kini berbaki 16 minggu perlawanan lagi dan 13 pasukan sedia ada akan meneruskan saingan merebut kejuaraan liga yang dijadualkan berakhir Mei tahun hadapan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd