FAM Pilih Bojan Hodak Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

November 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Individu yang membawa Kelantan FA dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super, Bojan Hodak diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu siaran media menerusi laman sesawangnya serta pelbagai akaun media sosialnya, pada hari ini.

Pengumuman itu sekaligus menyaksikan Hodak, 55 tahun, dipilih untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Peter Cklamovski susulan penamatan kontrak melalui persetujuan bersama pada 16hb Jun lalu.

Sebelum pelantikan Hodak, kekosongan itu diisi seketika oleh Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih interim (sementara).

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani menjelaskan Hodak dipilih selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing skuad kebangsaan.


“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.

“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.

“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang.” katanya.

Selain Kelantan dan JDT, pengalaman Hodak dalam kancah bola sepak tanah air turut merangkumi UPB-MyTeam dan Kuala Lumpur City FC (KL City) serta skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19).

Jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia yang memegang Lesen Pro UEFA juga pernah membimbing Phnom Penh FC (Kemboja) serta PSM Makassar (Indonesia) dan Persib Bandung (Indonesia).

FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd