Tan Cheng Hoe Dapat Jawatan Baharu Bersama FAM
Hafiz Omar

Khidmat Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih interim (sementara) buat skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menemui titik noktahnya.
Perkembangan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, pada hari ini.
Bagaimanapun, khidmatnya masih ditagih oleh badan induk bola sepak tanah air dimana bekas pengendali Kedah FA dan Selangor FC diberikan peranan baharu iaitu Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
“Dalam kapasiti tersebut, beliau akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.
“FAM menghargai profesionalisme dan sumbangan beliau serta berharap pengalaman luas Tan Cheng Hoe dalam arena bola sepak akan terus memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak negara.” tulis FAM menerusi siaran media yang dikongsikan kepada pihak media, sebentar tadi.
Sebagai rekod, Cheng Hoe mengendalikan Harimau Malaya secara sementara bermula 25hb Jun yang lalu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali terdahulu, Peter Cklamovski – ditamatkan kontrak melalui persetujuan bersama.
Selama lima bulan bersama Harimau Malaya, jurulatih berusia 58 tahun berkenaan telah mengendalikan 12 perlawanan yang merangkumi saingan Piala ASEAN Hyundai, Piala ASEAN FIFA dan perlawanan antarabangsa di China.
Di bawah kendalian Cheng Hoe, Harimau Malaya mengharungi 12 perlawanan itu dengan catatan tujuh kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.
Featured Image: Malaysia NT