Syed Modi: Zii Jia Melangkah Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan 16 saingan Antarabangsa Syed Modi India 2026 – Jelajah Dunia BWF Super 300.
Zii Jia mengesahkan langkah itu selepas mengalahkan pemain tuan rumah, S. Sankar Muthusamy Subramanian yang menduduki ranking ke-98 dunia ketika bertembung di pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan mengalahkan Sankar dengan bergaya menerusi skor 21-17 dan 21-12 dalam masa 38 minit.
Pada masa yang sama, keputusan itu menjadikan Zii Jia kini mendahului rekod pertemuan dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Sankar selepas mencetak kemenangan di Masters Orleans 2026 dan Terbuka Australia 2024.
Sementara itu, di pusingan seterusnya, Zii Jia akan menantikan cabaran daripada pemenang pertemuan melibatkan dua pemain India iaitu Pranay Shettigar (153 dunia) atau Saneeth Dayanand (81 dunia).
Kemaraan Zii Jia ini turut mengiringi seorang lagi wakil negara dalam kategori perseorangan lelaki, Eogene Ewe yang mengalahkan Riku Hatang di pusingan 32.
Manakala tiga lagi wakil negara iaitu Cheam June Wei, Justin Hoh dan Aidil Sholeh kandas selepas tewas kepada lawan masing-masing di pusingan 32.
FEATURED IMAGE: Olympic Council of Malaysia