Format Baharu Piala Sudirman Bermula Musim 2027

November 26, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Badan induk iaitu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tampil mengumumkan meluluskan beberapa inovasi bagi format kejohanan-kejohanan utama berpasukan termasuk Piala Sudirman.

Perubahan pertama pada edisi seterusnya yang dijadualkan berlangsung bermula 21hb April hingga 2hb Mei 2027 di Beijing, China akan menyaksikan pembabitan 24 buah pasukan berbanding 16 pasukan sebelum ini.

Keduanya, 24 buah pasukan itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan – difahamkan dibahagikan berdasarkan ranking semasa pasukan. Setiap kumpulan akan disertai lapan buah pasukan. Ini berbeza dengan edisi lalu dimana 16 buah pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan undian.

Ketiganya, setiap pasukan akan mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan, difahamkan, menentang satu pasukan daripada kumpulan yang sama serta satu pasukan masing-masing daripada baki dua kumpulan.

Seterusnya, BWF menetapkan setiap perlawanan peringkat kumpulan akan menggunakan format “traditional best-of-five match” yang membabitkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Paling menarik adalah perubahan daripada segi kiraan mata. Pasukan yang merekodkan kemenangan 5-0 akan mendapat 7 mata, kemenangan 4-1 mendapat 6 mata dan kemenangan 3-2 pula mendapat 5 mata.

Sementara itu, pasukan yang mengalami kekalahan 2-3 pula meraih 2 mata dan kekalahan 1-4 pula mengutip sekurang-kurangnya 1 mata.

Ini bermakna, sistem ini memberikan pungutan mata kepada setiap kemenangan walau apa jua keputusan akhir yang dialami oleh pasukan terbabit.

Akhir sekali, 12 pasukan terbaik di peringkat kumpulan akan mara ke saingan kalah mati untuk meneruskan kempen memburu kejuaraan.

Pembaharuan ini hadir bersama-sama dengan sistem kiraan mata 3 x 15 sepertimana yang telah diluluskan dan diumumkan oleh BWF pada April lalu.

FEATURED IMAGE: BWF

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd