Saya Sudah Pesan, Jangan Tidur Petang – Fandi Ahmad
Meor Mohamad Amirul
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad sedikit kecewa dengan keadaan pemain yang tampak keletihan. Jurulatih dari Singapura ini melihat ianya berpunca daripada pengurusan masa yang kurang memberangsangkan dalam kalangan para pemainnya.
Jelas Fandi, pemain tidak sepatutnya tidur terlalu lama pada waktu petang ketika hari perlawanan. Tambahnya, tabiat tersebut mampu mempengaruhi keadaan tubuh badan sekaligus menjejaskan prestasi pemain menjelang perlawanan pada malam harinya.
“Mungkin mereka tidak beradaptasi dengan baik (terhadap keadaan semasa). Saya sudah pesan, kalau boleh, jangan tidur petang berlebihan sampai 1-2 jam. Mungkin mereka kelelahan kerana terlalu lama tidur.”
“Saya sudah pesan, kalau tidur pukul 3 petang dan masih tidak bangun selepas jam 5 petang, pasti tidak boleh berlari pada waktu malam perlawanan. Jadi, saya lihat mereka kurang bertenaga”, ujar Fandi dalam sidang media selepas perlawanan menentang PDRM FC.
Job well done!
Kita curi 3 mata dan berjaya melepasi roadblock di Petaling Jaya 🔥#SriPahang#WhereLegendsAreBorn #HakkaClo#posmalaysia pic.twitter.com/tuR9WaFIjN
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) April 5, 2023
Bagaimanapun, pengendali berusia 60 tahun itu tetap berterima kasih kepada para pemain kerana terus memberikan komitmen sepanjang perlawanan biarpun PDRM FC menunjukkan tanda-tanda kebangkitan pada separuh masa kedua.
Sri Pahang masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini apabila menang dengan keputusan 2-1 menewaskan skuad berjulukan Sang Saka Biru di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Skuad Tok Gajah mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Baqiuddin Shamsudin dan Kpah Sherman sebelum PDRM FC memperoleh jaringan saguhati menerusi James Okwuosa pada minit ke-76 perlawanan.
Skuad kendalian Fandi Ahmad bakal kembali ke bumi Kuantan dalam satu lagi aksi Perseteruan Pantai Timur menentang Kelantan United FC pada Isnin.
Featured Image: Sri Pahang FC