BAC 2023: Beregu Indonesia Hentikan Aksi Cemerlang Tang Jie-Ee Wei
Meor Mohamad Amirul
Rentetan kemenangan daripada saingan Orleans Masters yang dipamerkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak dapat diteruskan selepas tewas di Pusingan 16 Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023.
Terlebih dahulu, gandingan No.3 negara itu mara dari Pusingan 32 setelah mencipta kejutan ke atas pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang merupakan pilihan kelima kejohanan.
Namun, mereka terpaksa akur tumpas di tangan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada peringkat seterusnya.
Dalam perlawanan yang berlangsung selama hampir sejam itu, Tang Jie-Ee Wei berhempas pulas dalam dua set pertama sebelum Jordan-Oktavianti memenangi set penentuan dan menutup permainan dengan skor 21-23, 21-18, 15-21.
RESULTS: #BadmintonAsiaChampionships2023
R16#INA🇮🇩 Praveen Jordan-Melati Oktavianti def. #MAS🇲🇾 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 23-21 18-21 21-15
📷 @badmintonphoto#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/wHPAm05Ctp
— BAM (@BA_Malaysia) April 27, 2023
Sebelum ke Dubai, gandingan campuran negara muncul juara di Orleans Masters dan Cabaran Antarabangsa Iran sekaligus mempamerkan aksi cemerlang bagi tahun 2023.
Sebagai tambahan, ini merupakan kekalahan pertama Tang Jie dan Ee Wei menentang beregu Indonesia selepas tiga kali bertemu pasangan dari negara tersebut dalam pelbagai kejohanan sejak awal tahun ini.
Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti akan berentap di pusingan suku akhir dan bertemu pilihan pertama kejohanan dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong yang menewaskan pasangan Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.
Featured Image: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)