Sukan SEA 2023: Pasukan Teqball Malaysia Raih Dua Pingat Gangsa
Meor Mohamad Amirul
Wakil perseorangan lelaki dan wanita bagi acara teqball, Sharul Hameed Albarilan dan Asnidah Zamri membawa pulang pingat gangsa dalam aksi sulung sukan itu di pentas asia tenggara.
Biarpun begitu, pungutan pingat sukan teqball yang diletakkan sebagai sukan pertunjukan tidak dikira dalam kedudukan pingat keseluruhan sekaligus tidak menambah jumlah pingat gangsa buat Malaysia.
Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA), KJ Siva tetap gambira dengan prestasi yang ditampilkan para atlet biarpun tidak mencapai sasaran awal yang ditetapkan mereka.
“Kami sangat gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh atlet kami, dan tidak sabar untuk mula berusaha membangunkan sukan ini dengan lebih baik apabila kami kembali (ke tanah air)”, ujar KJ Siva.

Terdahulu, pasukan teqball negara beraksi baik dalam kejohanan pra-Sukan SEA yang mana menyaksikan skuad kebangsaan meraih lima pingat perak daripada lima acara dipertandingkan.
Oleh itu, MTA menerusi presidennya, KJ Siva meletakkan harapan untuk membawa pulang pingat perak dalam tiga acara dipertandingkan di Sukan SEA kali ini tetapi hanya pingat gangsa berjaya diraih skuad negara.
Untuk makluman, hanya tiga kategori dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA 2023 – perseorangan lelaki, perseorangan wanita & beregu lelaki manakala akan ada tambahan dua acara – beregu wanita & beregu campuran pada Sukan SEA akan datang di Thailand.
Ini bermaksud akan ada lima kategori acara bakal dipertandingkan bagi sukan teqball setelah acara sukan tersebut dijadikan acara pungutan pingat pada Sukan SEA 2025.