Lantik Mourinho, Conte Sebagai Jurulatih Satu Kesilapan, Kata Pengerusi Spurs
Hafiz Omar
Daniel Levy yang merupakan Pengerusi Tottenham Hotspur mengakui kesilapannya melantik Jose Mourinho dan Antonio Conte sebagai ketua jurulatih bagi pasukannya selepas era bimbingan Mauricio Pochettino.
Memetik portal 90min, Levy berkata sedemikian ketika bercakap dalam satu forum bersama peminat pada minggu ini.
“Saya mahu meraih kemenangan sebagaimana orang lain.”
“Kekecewaan tidak menang dan mungkin tekanan daripada beberapa pemain dan elemen daripada kumpulan peminat yang mahukan kemenangan, mahu kami membelanjakan duit, mempunyai pengurus nama hebat, nama besar. Ia memberi kesan kepada saya,” katanya.
“Saya telah melalui tempoh di mana kita hampir menang, bersama Mauricio kita telah melalui beberapa tempoh terbaik. Kita tidak sampai ke tahap itu (menang piala) tetapi kita sangat hampir, dan kita tukar strategi.”
“Strateginya adalah membawa masuk pengurus yang pernah menjulang piala dan kami lakukannya sebanyak dua kali. Anda perlu belajar daripada kesilapan itu,” tambahnya.

“Mereka (Mourinho dan Conte) merupakan pengurus yang hebat, tetapi tidak untuk kelab ini.
“Apa yang kami mahu, kami mahu bermain dengan cara tertentu dan jika ianya bermakna memerlukan lebih masa untuk menang, mungkin itu adalah yang terbaik untuk kita.
“Dan itulah mengapa membawa Ange Postecoglou masuk, daripada sudat pandang saya, merupakan keputusan yang betul-betul tepat,” jelasnya.
Sebagai rekod, selepas lima tahun dan setengah menggunakan khidmat Mauricio, Spurs tampil mengumumkan melantikan Mourinho sebagai ketua jurulatihnya bermula November 2019.
Mourinho hadir dengan reputasi telah meraih pelbagai kejuaraan seperti Liga Portugal, Liga Perdana Inggeris, Serie A, La Liga, Liga Europa, Liga Juara-Juara UEFA dan lain-lain lagi.
Namun begitu, Mourinho hanya sempat bersama Spurs kira-kira selama 17 bulan sebelum dilepaskan oleh Spurs sekitar April 2021 – seminggu sebelum perlawanan akhir Piala Liga bertemu Manchester City.

Kemudiannya, Spurs bertindak mendapatkan khidmat Antonio Conte sebagai ketua jurulatihnya bermula awal November 2021 sehingga musim panas 2023 dengan pilihan lanjutan.
Sepertimana Mourinho, Conte turut mempunyai portfolio yang cemerlang selaku pengurus dengan menjuarai Serie B, Serie A, Coppa Italiana, Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan beberapa kejuaraan lain lagi.
Bersama jurulatih kelahiran Itali ini, Spurs berhasil menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021-22 di tangga keempat sekaligus mendapat slot ke saingan Liga Juara-Juara UEFA.
Namun begitu, jodoh Conte juga tidak bertahan lama. Selang 16 bulan berikutnya, Spurs dan Conte mencapai kata sepakat untuk berpisah dengan persetujuan bersama.
Featured Image: Tottenham Hotspur