Ranking BWF: Zulaikha Langkua 76 Anak Tangga Susulun Muncul Naib Juara Siri Antarabangsa Sri Lanka

February 21, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Kejayaan menaiki podium dan muncul naib juara Siri Antarabangsa Sri Lanka 2024 membolehkan Siti Zulaikha mencetuskan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam memperlihatkan Zulaikha yang berusia 17 tahun merekodkan peningkatan sebanyak 76 anak tangga sekaligus meletakkannya pada tangga ke-257 dunia pada minggu ini.

Sebagai perbandingan, minggu lalu, Zulaikha berada pada ranking ke-333 dunia.

Untuk makluman, kejayaannya merangkul gelaran naib juara dalam saingan Siri Antarabangsa Sri Lanka baru-baru ini memberikannya tambahan sebanyak 5,490 mata.

Sementara itu, kemaskini yang sama menyaksikan Letshanaa Karupathevan dan Wong Ling Ching turut mencatatkan kenaikan iaitu sebanyak dua dan empat anak tangga masing-masing.

Kenaikan itu meletakkan kedua-dua pemain yang berusia 20 tahun itu di tangga ke-55 dan ke-72 masing-masing.

Manakala perseorangan wanita No.1 negara, Goh Jin Wei pula merekodkan sedikit penurunan iaitu sebanyak dua anak tangga dan kini berada pada ranking ke-33 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd