Sukan Olimpik: Pearly Tan-Thinaah Muralitharan Hadap Lawan Sukar Dalam Kumpulan A
Hafiz Omar
Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan berhadapan lawan yang sukar untuk melepasi saingan peringkat kumpulan di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Berdasarkan hasil undian yang berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kuala Lumpur pada hari ini, gandingan negara yang menghuni ranking ke-13 dunia itu diundi dalam Kumpulan A.
Pertama sekali, kemasukan dalam Pearly & Thinaah akan menemukannya dengan pilihan pertama merangkap beregu wanita No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen & Jia Yi Fan – lawan yang hanya dimenangi sebanyak satu kali sahaja daripada tujuh pertemuan.
Turut sama diundi dalam Kumpulan A adalah beregu Jepun yang menghuni ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto & Wakana Nagahara serta beregu Indonesia yang berada di ranking kesembilan dunia, Apriyani Rahayu & Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Seperti ramai ketahui, Matsumoto & Nagahara merupakan juara dunia sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2018 dan 2019 sementara Apriyani pula merupakan pemenang pingat emas Olimpik edisi lalu namun bersama pasangan yang lain iaitu Geysia Polii.
Bagaimanapun, berbanding dengan pertemuan dengan Qing Chen & Yi Fan, pertemuan Pearly & Thinaah bertemu baki kedua-dua pasangan dalam Kumpulan A itu dilihat lebih seimbang namun seringkali ianya berlangsung dengan sengit.
Pearly & Thinaah pernah bertemu matsumoto & Nagahara sebanyak lima kali dan berhasil meraih tiga kemenangan dan hanya tumpas dua kali.
Sementara itu, pertemuan dengan Apriyani & Siti Fadia pula seimbang dengan kedua-dua pasangan merekodkan tiga kemenangan masing-masing daripada enam pertemuan.

Keputusan penuh undian bagi acara badminton kategori beregu wanita di Sukan Olimpik 2024 adalah seperti berikut:
Kumpulan A: Chen Qing Chen & Jia Yi Fan (1), Mayu Matsumoto & Wakana Nagahara (6), Apriyani Rahayu & Siti Fadia Silva Ramadhanti (9) dan Pearly Tan & Thinaah Muralitharan
Kumpulan B: Liu Sheng Shu & Tan Ning (3), Yeung Nga Ting & Yeung Pui Lam (18), Gabriela Stoeva & Stefani Stoeva (22) dan Annie Xu & Kerry Xu (30)
Kumpulan C: Nami Matsuyama & Chiharu Shida (4), Kim So Yeong & Kong Hee Yong (7), Tanisha Crasto & Ashwini Ponnappa (19) dan Setyana Mapasa & Angela Yu (27)
Kumpulan D: Baek Ha-na & Lee So-hee (2), Jongkolphan Kititharakul & Rawinda Prajongjai (10), Margot Lambert & Anne Tran (17) dan Sara Thygesen & Maiken Fruergaard (25)
Untuk makluman, ranking yang disertakan di atas adalah berdasarkan kemaskini terbaru pada minggu ke-28 iaitu 9hb Julai 2024.
Saingan badminton di Sukan Olimpik 2024 akan bermula dari 27hb Julai hingga 5hb Ogos di Porte de la Chapelle Arena.