Olimpik 2024: Tang Jie-Ee Wei Ada Rekod Pertemuan Baik Menentang Beregu No.2 Korea

July 30, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai lawan yang dihadapi oleh beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 telah pun diketahui selepas berlangsungnya sesi undian, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Hasil undian itu menyaksikan beregu campuran No.1 negara yang menjuarai Kumpulan D itu berhadapan dengan pasangan No.2 Korea iaitu Kim Won Ho dan Jeong Na Eun pada peringkat tersebut.

Bercakap mengenai lawannya yang menghuni ranking kelapan dunia pada ketika ini, Tang Jie-Ee Wei mempunyai rekod yang baik setelah bertemu mereka sebanyak tiga kali sebelum ini.

Dua daripada tiga pertemuan yang berlangsung di Terbuka China 2023 dan Kejohanan Badminton Asia 2023 itu berakhir dengan Tang Jie-Ee Wei merakamkan kemenangan.

Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kesembilan dunia pada saat ini hanya tewas sebanyak satu kali sahaja bertemu Kim-Jeong dan ianya berlaku ketika pertembungan sulung mereka di Terbuka Jerman 2023.

Untuk makluman semua, Kim-Jeong menempah tiket ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan A dengan hanya mengutip satu mata hasil kemenangan ke atas beregu Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Dua perlawanan lain berakhir dengan kekalahan di tangan, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas (Indonesia) dan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China).

Biarpun Kim-Jeong, Thom-Delphine dan Rinov-Pitha berkongsi satu mata masing-masing dalam Kumpulan A, Kim-Jeong dinobatkan selaku naib juara berikutan memiliki perbezaan permainan (games difference) paling tinggi berbanding dua beregu itu.

Sementara itu, sekiranya menang aksi suku akhir, Tang Jie-Ee Wei akan menantikan cabaran samada sepasang lagi beregu Korea yang menghuni ranking ketiga dunia, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung atau beregu Hong Kong di posisi ketujuh dunia, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet pada peringkat separuh akhir.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd