Olimpik 2024: Azizul, Shah Lepasi Pusingan Kelayakan Acara Pecut

August 7, 2024
Basikal

Hafiz Omar

Dua pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom berhasil melepasi peringkat kelayakan dan mara ke pusingan 1/32 acara pecut di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kedua-dua pelumba berusia 36 dan 28 tahun masing-masing itu meletakkan diri dalam kelompok 24 pelumba dengan catatan masa terpantas daripada 30 peserta.  

Azizul atau nama julukannya “The Pocket Rocketman” mencatatkan masa 9.480 saat (s) pada peringkat tersebut dan menempatkan dirinya di tempat kesepuluh terpantas. 

Manakala Shah pula layak selepas dirinya menduduki tangga ke-22 selepas menamatkan kayuhannya dengan catatan masa 9.635s.

Pusingan seterusnya iaitu pusingan 1/32 akan bermula pada jam 8.30 malam nanti (waktu Malaysia).

Pada peringkat itu, Azizul telah diletakkan untuk bertarung dengan pelumba muda Jerman yang berusia 20 tahun, Luca Spiegel untuk merebut tiket kemaraan ke psuingan 1/16.

Semasa peringkat kelayakan tadi, Luca yang menghuni ranking ke-25 dunia merekodkan kayuhan 9.479s dan berada di tangga ke-15.

Sementara itu, Shah pula akan turun berentap dengan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev yang menamatkan kayuhannya dengan catatan masa ketiga terpantas, 9.152s.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd