Olimpik 2024: Izzah Tersingkir Di Pusingan 1/32 Repechage Acara Pecut
Hafiz Omar
Perjalanan pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menemui penghujungnya.
Izzah yang turun pada acara keduanya iaitu pecut wanita individu terpaksa akur terhenti perjalanannya susulan gagal mencatatkan kemenangan pada pusingan akhir 1/32 repechage.
Izzah, 20 tahun, berasal dari Sungai Petani, Kedah menamatkan perlumbaan itu ditempat kedua di belakang Lauriane Genest dari Kanada dengan perbezaan masa 0.059 saat (s) sahaja.

Sementara itu, seorang lagi pelumban, Riyu Ohta dari Jepun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Sebelum ke perlumbaan repechage, Izzah tewas kepada pelumba Australia, Sophie Capewell pada pusingan akhir 1/32.
Untuk makluman, Izzah berhasil mara ke pusingan tersebut setelah mencatatkan masa 10.709s pada pusingan kelayakan sekaligus menempatkannya pada kedudukan tempat ke-21 daripada 28 pelumba yang bertanding.
Catatan masa itu juga merupakan rekod kebangsaan yang baharu bagi acara tersebut.