Piala Sultan Selangor: Faisal Beraksi 45 Minit, Ronnie & Alvin Pastikan Kejuaraan Selangor

August 17, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang sayap lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim bermula dalam kesebelasan utama buat julung kalinya selepas daripada insiden simbahan asid yang menimp dirinya pada Mei lalu.

Nama pemain berusia 26 tahun tersebut diletakkan dalam kesebelasan utama Pilihan Selangor ketika turun menentang Pilihan Singapura dalam saingan Piala Sultan Selangor 2024.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka itu turut menyaksikan Faisal atau dikenali sebagai Mickey dipertanggungjawabkan sebagai kapten bagi skuad bimbingan Nidzam Jamil itu.

Penampilan Faisal selama 45 minit dalam perlawanan tersebut turut menyaksikan percubaan berjaya menggegarkan palang sebanyak satu kali selain gelecekan-gelecekannya membantu serangan Pilihan Selangor.

Sementara itu, kejuaraan Piala Sultan Selangor 2024 menjadi milik Pilihan Selangor selepas menamatkan permainan dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Ronnie Fernandez dan Alvis Fortes.

Manakala jaringan tunggal Pilihan Singapura pula hadir menerusi tandukan oleh Faris Ramli – pemain yang mewarnai kancah Liga Malaysia bersama PKNS FC dan Terengganu FC.

Kejuaraan pada edisi kali ini turut membolehkan Pilihan Selangor membawa pulang trofi serta ganjaran wang tunai sebanyak RM100,000.

Untuk makluman, ini merupakan yang kali ketiga berturut-turut Pilihan Selangor menjuarai Piala Sultan Selangor selepas merangkulnya pada edisi 2018 Dan 2019 – kali terakhir dilangsungkan sebelum ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Pada masa yang sama, kejuaraan pada malam tadi merupakan yang kesepuluh dimenangi Pilihan Selangor selepas menjuarainya pada edisi 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd