Saya Perlu Masa Untuk Capai Tahap Maksimum – Faisal Halim
Hafiz Omar

Penyerang sayap skuad kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim mengharapkan agar diberikan ruang dan masa untuk mendapatkan prestasinya maksimumnya sepertimana ditonjolkan sebelum daripada insiden simbahan asid ke atasnya.
Biarpun berjaya bermula dalam kesebelasan utama buat julung kalinya dan beraksi selama 45 minit dalam kejohanan Piala Sultan Selangor 2024, pemain berusia 26 tahun tersebut mengakui persembahan yang ditampilkan pada Sabtu lalu bukanlah pada tahap maksimumnya.
“Alhamdulillah perlawanan pertama saya bermula sebagai pemain kesebelasan utama, Alhamdulillah saya boleh adapt (sesuaikan diri) dengan intensiti tetapi saya ingin banyak masa lagi untuk perbaiki,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka tersebut.
“Saya bagi apa yang saya mampu, takat mana saya mampu, saya rasa 45 minit bukan permainan saya sebenar,”
“Kalau nak banding dengan (tahap) sekarang dan asal, saya belum sampai tahap yang maksimum lagi, saya perlu masa untuk dapatkan saya punya maksimum, saya harap semua dapat memberi ruang kepada saya untuk saya catch up (kejar) rakan-rakan saya,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Faisal atau dikenali sebagai Mickey turut menyatakan sentuhan fizikal, perlanggaran dan dijatuhkan semasa beraksi dalam perlawanan itu menjadi satu penanda aras terhadap tahap penerimaan anggota badannya selepas menjalani beberapa pembedahan sebelum ini.
“Memang tak ada masalah apa-apa, sekurang-kurangnya saya dah dapat rasa perkara tu mengganggu saya atau tidak,
“Setakat ini, alhamdulillah walaupun saya jatuh dan tangan saya di sebelah kiri terkepak tapi tak ada yang serius, perkembangan baik untuk diri saya, saya lebih yakin sekarang dan saya ingin fokus untuk dapatkan kecergasan dan kekuatan,” katanya.
Perlawanan itu turut menyaksikan Faisal diberikan peranan selaku kapten skuad Pilihan Selangor.
Sepanjang tempoh 45 minit tersebut, kelibat Faisal di atas padang turut menghasilkan satu percubaan yang berbahaya ke arah gawang Pilihan Singapura namun ianya sekadar singgah di palang.
Pertembungan antara kedua-dua pasukan itu berakhir dengan Pilihan Selangor meraih kemenangan 2-1 ke atas Pilihan Singapura hasil jaringan Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes.
Bagi Faisal, kemenangan itu juga menjadi satu suntikan semangat untuk dibawa ke perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung pada Sabtu, 24 Ogos, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Featured Image: Selangor FC