SUKMA XXI: Danish Rangkul Pingat Emas 100m Lelaki – 10.53s
Hafiz Omar

Pingat emas dalam acara 100 meter (m) lelaki di SUKMA XXI menjadi milik pelari pecut yang berusia 17 tahun, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Pelari yang mewakili Kontinjen Selangor itu muncul sebagai pemenang setelah menjadi yang pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Stadium Sarawak, pada Isnin.
Catatan masa yang dilakukannya adalah 10.53 saat (s).
Manakala, pingat perak dan gangsa pula dibawa pulang oleh Danish Irfan Tamrin (17 tahun) dan Muhammad Efrain Feerzan Qhan (19 tahun).
Kedua-dua pelumba dari Kontinjen Selangor dan Kontinjen Pahang ini merekodkan masa larian 10.60s dan 10.66s masing-masing.

Sementara itu, pecut 100m wanita pula dimenangi oleh Nur Afrina Batrisyia Binti Mohamad Rizal yang berusia 20 tahun.
Pelari dari Kontinjen Selangor ini muncul juara setelah muncul yang pertama melintasi garisan penamat diiringi catatan masa 11.64s.
Bukan sahaja membawa pulang kilauan emas, catatan masa direkodkan Afrina itu turut memecahkan rekod temasya 11.81s yang dipegang oleh Azreen Nabila Alias dari Kontinjen Terengganu semasa beraksi di SUKMA 2016 di Perak.
Pingat perak pulak menjadi milik pelari remaja yang berusia 16 tahun mewakili Kontinjen Terengganu iaitu Izzatul Musfirah Binti Ahmad Kamal Azira dengan catatan masa 11.90s.
Pingat gangsa pula diraih oleh pelari kontinjen tuah rumah, Ormilla Octavia Codday Nyadau yang berusia 18 tahun dengan catatan masa 12.19s.
Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia