Nelson Bonilla Tandatangan Kontrak 8 Bulan Bersama Terengganu FC

August 21, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang dari El Salvador, Nelson Bonilla menjadi pemain baharu yang menyarung jersi hitam putih Terengganu FC bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2024-25.

Kedatangan penyerang berusia 33 tahun terbabit diumumkan secara rasmi oleh skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner sebelum sepak mula perlawanan menentang Preah Khan Reach Svay Rieng FC (PKR Svay Rieng) dalam saingan Piala Shopee, hari ini. 

Terengganu FC memaklumkan Nelson menandatangani kontrak bermula dari 1 September 2024 hingga penghujung April 2025 – berdurasi lapan bulan.

Difahamkan, Nelson yang beraksi lama dalam kancah bola sepak Thailand didatangkan bagi menggantikan penyerang importnya yang baru sahaja menjalani pembedahan achilles tendon di Finland iaitu Ivan Mamut.

Antara kelab-kelab di Thailand yang pernah disertainya ialah Sukhothai FC, Chiangrai United, Port FC dan Bangkok United antara tahun 2018 hingga 2023.

Sepanjang mewakili kelab-kelab di negara Gajah Putih berkenaan, Nelson merekodkan 145 penampilan, menjaringkan 76 gol serta mencipta 22 bantuan gol.

Selain itu, penyerang yang memiliki ketinggian 1.79 meter (m) ini turut pernah beraksi dalam kancah bola sepak Portugal, Turkiye, Azerbaijan, Romania serta negara kelahirannya.

Sementara itu, bersama skuad kebangsaan negaranya, Nelson telah tampil sebanyak 63 kali diiringi dengan 20 ledakan ke dalam gawang lawan dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd